“Selepas 33 Tahun, Akhirnya ‘Berjumpa’ Bapa”-Zizi Kirana Kongsi Peristiwa Manis Berlaku Sewaktu Perkahwinan

Kuala Lumpur: Penyanyi Zizi Kirana, 36, mendedahkan antara peristiwa manis berlaku sewaktu perkahwinannya baru-baru ini adalah dapat menjejak semula bapa kandungnya selepas terputus hubungan selama 33 tahun.

Zizi atau nama sebenarnya, Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil berkata, dia sangat bersyukur apabila urusan perkahwinannya dipermudahkan selepas berjaya menjejaki bapanya.

“Ibu bapa bercerai ketika saya baru berusia tiga tahun, selepas itu kami tidak bertemu lagi. Sewaktu urusan perkahwinan, saya berusaha mencari wali termasuk mengiklankan mengenai bapa menerusi akhbar.

“Saya turut melakukan carian di Instagram dan terjumpa nama adik-beradik lain. Apabila dimaklumkan kepada ibu, dia terlebih dulu menghubungi bapa untuk menyatakan hasrat kami.

“Alhamdulillah, urusan saya dipermudahkan Allah,” katanya.

Penyanyi lagu Eh itu sangat gembira apabila akhirnya dapat bercakap dengan bapanya.

“Selepas itu barulah saya dapat bercakap dengan bapa. Walaupun hanya berhubung melalui panggilan telefon, namun bapa memberikan kerjasama sangat baik. Semua dokumen penting untuk pernikahan saya dan suami dibuat menerusi penghantaran kurier,” katanya.

Zizi berkongsi mengenai perkara itu dalam temubual menerusi Instagram Live anjuran Nurflixtv berjudul Rahsia Dia: Jodoh dan Ketentuan, Ahad lalu.

Temubual itu dihoskan oleh Diana Amir dan panel adalah Zizi, Faralyna Idris dan Ustazah Asni.

Zizi melangsungkan pernikahan dengan pelakon Yusuf Bahrin di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju, di sini, pada 16 September lalu.

Berikut 10 fakta menarik mengenainya yang kini bergelar isteri kepada pelakon Yusuf Bahrin.

Bersuamikan Pelakon Yusuf Bahrin, Ini 10 Fakta Biodata Penyanyi Zizi Kirana Yang Ramai Tak Tahu!

1. Pemilik nama penuh Nur Fazelah@Zizie Mad Tahil ini merupakan anak sulung dalam keluarganya.

2. Dilahirkan di Semporna, Sabah, wanita genit ini berasal dari Sipitang yang merupakan tempat dia dibesarkan dari umur dua tahun.

3. Mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Weston, Beaufort, namun tidak menyambung pelajaran selepas tamat pengajian di tingkatan lima.

4. Sebelum bergelar penyanyi, beliau adalah kakitangan kerajaan yang bertugas di Jabatan Penerangan Sabah.

5. Namanya diketengahkan dalam industri hiburan seangkatan dengan penyanyi Hafiz Suip dan Akim Ahmad dalam program realiti nyanyian, Akademi Fantasia Musim 7 (AF7) yang mencungkil pelapis bakat baharu dalam bidang muzik.

6. Memulakan karier seni sebagai penyanyi kumpulan nasyid bersama grup Zaiyan, sebelum dikenali sebagai seorang penyanyi komersial.

7. Antara kebolehan dimilikinya yang tidak diketahui rata-rata umum termasuk kemampuan mengalunkan lagu-lagu nasyid, berselawat dan membaca ayat suci Al-Quran dengan taranum. Kemampuan itu digilap sejak zaman bangku sekolah yang mana dia pernah bersaing dalam pertandingan tilawah Al-Quran peringkat negeri Sabah mewakili sekolahnya. Manakala ibu saudaranya pula merupakan bekas qariah di negeri itu.

8. Zizi juga pernah bergelar seorang ustazah yang mana sejurus tamat persekolahan, dia secara sukarela mengajar kanak-kanak di kampungnya mengaji iaitu di sebuah masjid di Sipitang, Sabah selama lebih tiga tahun.

9. Selain genre rap, dia turut dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu dangdut atas dorongan bintang rap lagenda, Malique.

10. Difahamkan, pertemuannya dengan suami, Yusuf Bahrin bermula selepas mereka sama-sama terlibat menjayakan rakaman program All Together Now Malaysia pada sekitar Mac lalu.

 

Sumber:limauasamboi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *